Makam Tok Kenali yang terletak di Kubang Kerian, Kelantan |
Alhamdulillah sudah dibina pondok untuk penziarah berteduh. |
Al Fatihah... |
Assalamualaikum.. semua
Membaca qasidah bersama keluarga... |
Alhamdulillah semasa ziarah dan jaulah Kelantan pada 21 -23 haribulan Mac 2012 yang lalu, kami sempat menziarahi makam Tok Kenali yang hebat dan terkemuka itu.
Sempatlah kami berqasidah di makam wali Allah yang istimewa ini...
Terima kasih kepada anggota Saalica Maulid Ensemble yang sudi membawa keluarga KISWAH ke sini |
Semoga Allah meninggkan makamnya lagi di sisi Allah.. Amin..
Semoga di lain masa, Allah memberi peluang kepada kami untuk ke sini lagi.. |
Siapakah Tok Kenali:
Ketika kami Sidang Pengarang memilih "Tok Kenali" sebagai penghormatan untuk menghiasi kulit keluaran pertama majalah Pengasuh 1975, maka pemilihan itu bukan saja kami landaskan atas asas ketokohan ulung beliau sebagai ulama besar di zamannya, malah kami landaskan juga atas fakta beliau selaku pendorong dan pengasas majalah Pengasuh yang diterbitkan bagi pertama kalinya pada tahun 1918. Majalah Pengasuh adalah sama tua dengan majalah "Seri Pustaka" Indonesia yang diterbitkan dalam tahun 1918 oleh Balai Pustaka dan di Malaysia majalah Pengasuh merupakan majalah tertua yang kedua sesudah majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahamad Al-Hady pada tahun 1906.
Walaupun Tok Kenali bukan
seorang penulis yang konsisten seperti Syed Sheikh , namun beliau adalah
seorang penulis yang mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas.
Seandainya beliau tidak dihambatkan oleh tugas-tugas yang banyak dan
terus menulis dengan tekun, beliau tidak syak lagi dapat dideretkan
sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang merintis alam penulisan tanahair.
Tok
Kenali sejak dari muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan
yang begitu tinggi berhadap tugas-tuga penulis dan peranan
majalah-majalah adan suratkhabar-suratkhabar selaku mass media yang
berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu dan atas kesedaran itulah
beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah Pengasuh yang
diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam walaupun dapatlah kita teliti dari
pernyataan-pernyataan belau yang tegas dalam tulisannya di bilangan
pertama Pengasuh. Antara lain beliau menulis :
Tok Kenali satu-satunya ulama' kesayangan semua lapisan rakyat yang tiada ada tolok bandingnya. Kisah hidup beliau merupakan legenda-legenda yang diperkatakan mereka di segenap pelosok negeri hingga ke zaman ini."Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok." "Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap buah negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunyai oleh anak-anak negeri sendiri supaya menempati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan ugama."
"Cuba anakku tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan, maka di situlah "Pengasuh" bertimpuh (duduk) membedakkan sekalian yang hadhir dengan bedak pengharapan, mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanahair dan menunjukkan kepada Raja."
Beliau
menjadi begitu popular bukan sahaja kerana ilmu pengetahuan ugamanya
yang tinggi dan akal fikirannya yang tajam dan bijaksana, malah kerana
sifat-sifat kejujuran , rendah diri, peramah, pemurah, cara hidupnya
yang zahid, bersahaja dan darwis iaitu sifat-sifat yang menjadi pakaian
hidupnya sejak sebagai seorang pelajar di kota suci Makkah hingga
sebagai ulama terbilang di tanahairnya. Beliau melayani yang bodoh sama
dengan beliau melayani yang cerdik, beliau menghormati kanak-kanak sama
dengan beliau menghormati orang-orang dewasa. Beliau tidak pernah
menghampakan pemberian dan jemputan dari siapa saja. Dan jika diberi,
maka pemberian-pemberian itu akan dibahagikan pula kepada orang-orang
sekelilingnya dan apabila dijemput maka beliau akan tampil menjadi
tukang masak. Inilah sifat-sifat dan cara-cara hidup beliau yang membuat
setiap orang yang berhubung dengan beliau menyimpan kenangan-kenangan
yang indah terhadapnya.

Tok
Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulama yang telah diabadikan oleh
rakyat Kelantan dengan gelaran "Tok" yang digandingkan dengan nama-nama
tempat atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau
kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau menaburi
bakti mereka. Gelaran itu
merupakan kemuncak penghormatan yang mencermin ketokohan dan kemasyhuran
yang meluas. Diantara ulama-ulama itu ialah
Tok Bachok, Tok Kemuning, Tok Selehor, Tok Mesir dan lain-lain. Tuan
Tabal juga termasuk ulama yang diabadikan dengan nama sebuah kampung.
Tetapi
Tok Kenali bukanlah sekadar menjadi lambang kemegahan tempatan
Kelantan, malah kemasyhuran beliau menjangkau jauh di luar perbatasan
Malaysia. Beliau dapatlah didirikan sejajar dengan tokoh-tokoh Nusantara
lain yang berjasa di zamannya memberi sesuatu sumbangan yang berkesan
kepada masyarakatnya.
Walaupun Tok Kenali tidak meninggal
hasil-hasil karya yag besar dalam mana-mana bidang pengajian Islamiah,
namun jasa beliau yang paling besar ialah kejayaannya melahirkan satu
angkatan ulama yang memegang obor pengajian tinggi Islam bukan di negeri
Kelantan dan Malaya, malah di Thailand, Kemboja dan Indonesia di
separuh pertama abad dua puluh. Beliau juga telah berjaya membawa
kemuncak pengajian tatabahasa Arab, nahu saraf, balaghah dan ‘arudh di
dalam sistem pelajaran Pondok di negeri ini. Keahlian beliau dalam
bidang-bidang itu merupakan legenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman
itu. Dalam kebanyakan waktu beliau mengajar tanpa kitab.
Tidak
seperti kebanyakan ulama yang lain di zamanya, Tok Kenali tidak hanya
aktif di sekitar Surau atau Pondoknya saja, malah aktif dalam bidang
kegiatan kemasyarakatan dan pentadbiran negeri, di mana beliau
disahabati dan dirundingi oleh pembesar-pembesar negeri terutama rakan
karibnya Dato’ Perdana Menteri Kelantan almarhum Haji Nik Mahmud Ismail
(ayahanda Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Dato’ Nik Mustafa Fadhil). Hakikat
ini dapatlah di perhatikan dari jawatan-jawatan yangdisandang semasa
hidupnya iaitu selaku anggota Majlis Ugama Islam, anggota Jemaah Ulama
Kelantan, Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh dan Ketua Pelajaran
Ugama. Seluruhnya merupakan jawatan-jawatan penting yang memerlukan
pandangan-pandangan yang tajam dan pergaulan yang luas.
Tok
Kenali telah dilahirkan di Kampung Kenali pada tahun 1868 dari satu
keluarga kaum tani yang saleh. Nama tubuh beliau Muhamad Yusuf bin Ahmad
dan nama timangan "Awang", satu nama sentimental yang amat disukai
beliau. Majalah Pengasuh keluaran pertama memperkenalkan pengarangnya
sebagai "Al-Fadhil Tuan Haji Awang Kenali" dan almarhum Al-Sultan
Muhammad yang Keempat menyebut nama beliau dalam titah ucapan melantik
beliau selaku anggota Majlis Ugama Islam dengan nama "Haji Awang
Muhammad Yusuf Kenali".
Beliau dilahir dan dibesar remajakan
dalam zaman permerintahan seorang Raja negeri Kelantan yang agung iaitu
almarhum Al-Sultan Muhammad yang Kedua yang terkenal dengan gelaran
"Sultan Mulut Merah". Beliau dilahirkan kira-kira setahun selepas dibina
Masjid Besar Kota Bharu (masjid kayu) yang sesuku abad kemudian menjadi
gelanggang keguruan dan kegiatan ilmiahnya yang menharumkan nama
Kelantan ke seluruh Tenggara Asia.
Dari sejak kecil lagi beliau
memperlihatkan tanda-tanda kecerdasan yang luar biasa dan kecenderungan
kepada ilmu pengetrahuan yang tidak pernah puas. Menurut Abdullah A-Qari
Haji Salleh, Tok Kenali telah melanjutkan pelajaranya di Kota Bharu
dalam usia kira-kira sepuluh tahun dengan berguru pada para ulama yang
terkenal di zaman itu, di antaranya ialah Encik Ismail (ayah kepada
Dato’ Perdana Menteri almarhum Haji Nik Mahmud), Tuan Guru Asy-Syaikh
Muhammad Ali bin Abdul Rahman yang terkenal dengan "Wan Ali Kutan", Tuan
Guru Haji Taib Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor.
Keputusan beliau untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah kerana sejak berabad lamanya, kota suci tersebut menjadi tumpuan para ulama untuk mendalami ilmu Islam termasuk ulama dari rumpun Melayu. Kota Mekah menjadi saksi akan kemunculan ulama ulama ternama dari rumpun Melayu yang pernah menuntut dan mengajar di situ selama berpuluh puluh tahun lamanya. Di antara nama nama ulama Melayu tersohor yang mendapat pendidikan Islam di kota Mekah ialah seperti Syeikh Daud al Fatani, Syeikh Abdul Samad al Falimbani, Syeikh Mohd. Arshad al Banjari, Syeikh al Nawawi al Batani dan ramai lagi.
Tok kenali pada zamannya sangat beruntung kerana berkesempatan menuntut ilmu dengan beberapa ulama besar ketika itu. Salah seorangnya ialah ulama Pattani yang terkenal Syeikh Ahmad Muhammad Zain bin al Fatani.
KEISTIMEWAAN
1. Pernah
memberitahu anak muridnya bahawa satu masa nanti Jepun akan menjajah
Kelantan dan seluruh tahan air. Pada 1941 tentera Jepun benar benar
menyerang Tanah Melayu dan masuk melalui Kelantan.
2. Pernah
memberi amaran Kelantan akan dilanda banjir besar dan meminta orang
kampung bersiap sedia. Sebulan selepas itu terjadinya banjir besar di
Kelantan yang dikernali sebagai Bah Air Merah pada 24 Disember 1926.
3. Seorang yang cepat menghafal dan tajam pemikiran semenjak kanak kanak lagi.
4. Ada
riwayat mengatakan bahawa Tok Kenali akan ke Mekah pada setiap tahun.
Bahkan ada yang terserempak Tok Kenali di Mekah sedangkan ketika itu
beliau berada di Kelantan.
5. Pernah
diceritakan bahawa Tok Kenali dijemput untuk berbuka puasa di enam
tempat dan pada hari jemputan tersebut, Tok Kenali berada di keenam enam
tempat tersebut.
|
Tok kenali menjadi popular di kalangan semua lapisan rakyat disebabkan akhlak dan keterampilannya. Sifatnya yang zuhud, rendah diri, peramah, pemurah menyebabkan beliau senang didekati. Kemesraan dalam pergaulan, cara hidup yang zahid serta tidak pernah menghampakan permintaan orang ramai, membuatkan beliau menjadi seorang ulama yang dekat dan hampir kepada masyarakat awam. Biarpun Tok Kenali tidak meninggalkan hasil hasil karya yang terkenal dalam mana mana pengajian Islam, namun jasa jasa beliau paling besar dalam dunia Islam ialah melahirkan satu angkatan ulama yang tersohor bukan sahaja di negara ini, tetapi turut terkenal di negara luar. Belia juga telah berjaya membawa perubahan dalam sudut pengajian tatabahasa Arab, nahu sarf, urudh dan balaghah dalam sistem pengajian pondok ketika itu. Beliau yang sering kali mengajar tanpa kitab, begitu dihikmati ketinggian ilmu dan keahlian beliau dalam beberapa bidang ilmu sehingga menjadi nama beliau satu lagenda bagi ilmu ketika zaman itu.
Makam Tok Kenali
Penulis: Wan Mohd. Hafiz Wan HamzahTerbitan asal: AL ISLAM Oktober 2005
url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/21278
dan dari http://members.tripod.com/~aashraff/tok_kenali.htm
No comments:
Post a Comment