|
Salam Eidul Adha dan
Selamat Berkorban..
|
12 October 2013
27 Soal Jawab Berkenaan Ibadah Korban Untuk Mendapatkan Gambaran Menyeluruh Berkenaan Ibadah Ini
Dalil Ibadah Korban / Tadhiyyah:
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan
Yang banyak (di dunia dan di Akhirat).
2. Oleh itu, kerjakanlah solatlah kerana Tuhanmu semata-mata (solat hari raya korban), dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
3. Sesungguhnya orang Yang bencikan engkau, Dia lah Yang terputus (dari mendapat sebarang perkara Yang diingininya).
(1-3 Surah al Kauthar)
Soal jawab berkenaan ibadah korban
1) Apakah hukum melakukan ibadah korban?
Sunat Mukkad (sunat yang sangat-sangat dituntut) bagi orang yang mengerjakan haji dan yang tidak mengerjakan ibadah haji.
Korban tidak wajib dan hanya menjadi wajib apabila dinazar. Sebagai contoh seseorang berkata:
"Demi Allah aku akan melakukan ibadah korban sekiranya berlaku perkara ini."
Jadilah hukumnya hukum nazar.
Kesan:
Sekiranya ia menjadi korban wajib atau untuk tujuan nazar maka: Haram memakan sebahagian dari daging korban.
2) Bilakah bermulanya tempoh waktu ibadah korban?
Apabila naik matahari hari raya (nahr) dan sesudah menunaikan dua
rakkat solat hari raya dan dua khutbah yang ringan.
3) Bilakah waktu afdal untuk melakukan korban?
Dilambatkan sehingga matahari naik segalah. Berkekalan waktu korban sehingga jatuh matahari pada hari terakhir hari tasyriq iaitu hari ketiga tasyriq. Selepas waktu tersebut korban tidak disyara'kan lagi.
Kecuali:
Korban wajib/nazar yang tidak sempat dilaksanakan dengan syarat kerana berlakunya keuzuran. Disifatkan sebagai korban qada'. Haram
dilambat-lambatkan korban wajib.
4) Apakah binatang yang boleh dikorbankan?
Binatang yang sah dibuat korban adalah:
1. unta
2. lembu
3. kerbau
4. kibasy
5. kambing
Pendapat Ibn Abbas:
Syarat korban adalah 'menumpahkan darah.'
Maka ayam dan itik juga boleh digunakan untuk korban kerana menumpahkan darah dan dikiaskan kepada akikah. Menurut mazhab Ibn Abbas boleh melakukan akikah dengan ayam jantan.
5) Binatang manakah yang terlebih afdal?
Menurut urutan:
1. Unta
2. Lembu
3. kibasy atau kambing
Tujuh kibasy lebih baik dari seekor unta.
6) Berapakah bahagian syer bagi binatang tersebut?
Bagi unta, kerbau, lembu: 7 bahagian orang.
7) Adakah disyaratkan sama niat iaitu untuk melaksanakan korban buat ketujuh-tujuh orang tersebut?
Tidak! Boleh sahaja korban dilaksanakan sedangkan syer yang lain
diniatkan untuk akikah, memakan daging sahaja atau dijual.
8) Sah atau tidak syer seorang jika bahagian yang lain dipegang oleh
kafir zimmi (kafir yang bernaung di bawah kerajaan Islam?
Sah!
9) Apakah yang dibuat selepas disembelih?
Daging akan dibahagikan sebanyak tujuh bahagian secara sama rata.
10) Bagaimana dengan bahagian syer kambing dan kibasy?
Seorang sahaja untuk seekor kambing.
Seorang yang mengorbankan seekor kibasy lebih baik dari berkongsi tujuh orang pada seekor unta.
11) Apakah syarat ibadah korban?
1. Syarat pertama: Umur binatang:
1. Unta: L ima tahun masuk ke tahun ke enam.
2. lembu, kerbau dan kambing: Dua tahun masuk ke tahun yang ketiga.
3. Kibasy: setahun umurnya atau bersalin gigi hadapan.
Boleh dilakukan kepada binatang yang jantinanya jantan, betina atau khunsa.
2: Syarat kedua: Disyaratkan tiada aib atau kecacatan sehingga mengurangkan daging yang boleh dimakan:
Contoh: Tidak boleh dikorban kambing yang:
1. Tidak bertelinga atau yang terpotong walau sedikitpun anggota badannya.
2. Terpotong ekor atau lidah.
3. Gila kerana menjadi kurus disebabkan tidak mahu makan rumput.
4. Juga yang berkudis walau sedikit sekalipun kerana dagingnya terjejas.
5. Juga yang baru lepas beranak kerana dagingnya tidak enak dan kurus.
6. Buta sebelah atau kedua-dua belah secara nyata.
7. Jelas sakit seperti tempang. Walaupun tempang semasa proses membaringkan kambing tersebut untuk disembelih.
8. Tidak boleh yang bunting. Seperti yang disebut dalam kitab Majmu'. Itu pendapat yang muktamad. Ini kerana dagingnya kurang.
3. Syarat ketiga: Niat ketika disembelih.
12) Bagaimana
dengan wakil?
Hendaklah diniatkan wakil ketika orang yang memberi wakil menyerahkan haiwan korban kepada yang menjadi wakil. Walaupun yang menjadi wakil tidak mengetahui keadaaan haiwan korban; taukil tetap menjadi sah.
Boleh juga diniatkan ketika mahu menyembelih.
13) Apakah binatang yang dikhasikan dan bagaimana pula hukum
mengorbankan binatang tersebut?
‘Binatang yang dikhasikan adalah binatang yang dibuang kedua-dua biji butirnya supaya bertambah daging. Hukumnya harus kepada binatang yang dimakan dan dilakukan ketika binatang tersebut masih kecil. Haram kepada binatang yang tidak dimakan.’
Binatang yang dikhasikan boleh dikorban.
14) Apakah hukum memakan daging haiwan korban nazar?
Hukumnya adalah haram. Haram juga buat sekalian orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Wajib daging tersebut disedekahkan dalam keadaan mentah sehingga tanduk dan kulitnya pun hendaklah disedekahkan.
15) Bagaimanakah sekiranya daging tersebut dimakan oleh orang yang bernazar tersebut?
Wajib diganti.
Haram juga memakan jika dia berniat untuk pihak orang lain (menjadi wakil korban nazar).
Atau dia membuat korban dan kemudiannya menjadi murtad. Maka haramlah daging korban buat dirinya.
16) Apakah hukum memakan daging korban (biasa) untuk dirinya sendiri?
Hukumnya sunat dan afdal dia memakan bahagian hati dan wajib dia bersedekah dalam masa yang sama. Bersedekah dengan daging yang mentah dan masih basah kepada faqir miskin supaya mereka boleh menjualnya untuk pendapatan atau tujuan yang lain.
17) Berapakah bilangan faqir miskin tersebut?
Memadai dengan seorang sahaja dan memadai sebahagian kecil daripada daging tersebut.
18) Apa yang akan berlaku sekiranya dia tidak bersedekah kepada faqir miskin?
a. Wajib bersedekah. Jika tidak dia wajib membeli daging dengan
harga yang wajib dan bersedekah. Maka yang tinggal boleh
dimakan.
b. Pendapat yang asoh. Tidak wajib bersedekah. Memadai pahala
dengan menumpahkan darah dan niat taqarrub kepada Allah.
Namun afdal, haruslah bersedekah kepada fakir miskin. Dalam masa yang sama hendaklah dia makan sebahagian daging tersebut walaupun beberapa suap kerana mengambil berkat.
19) Berapakah pembahagian yang sebaik-baiknya?
Jika tidak berbuat begitu maka hendaklah:
1. Bersedekah satu pertiga kepada faqir miskin dari kalangan orang
Islam.
2. Satu pertiga hadiah kepada orang kaya.
3. Satu pertiga kepada dirinya sendiri.
20) Bolehkah lebihan daging tersebut dibahagikan kepada orang kafir?
Tidak boleh memberi lebihan daging tersebut kepada kafir zimmi kerana memberi laluan dan mendahulukan sedekah kepada fakir miskin muslim
dan hadiah kepada orang kaya muslim.
21) Apakah hukum menjual daging korban kepada orang kafir?
Haram
22) Apakah hukum menjual daging, bulu atau kulit binatang korban oleh si empunya binatang korban?
Haram dan tidak sah.
23)Apakah hukum mengupah tukang sembelih?
Haram. Tetapi jika diberi wang dengan niat sedekah dibolehkan. Harus
dibuat pelapik duduk, bekas dan sebagainya kepada penyembelih serta meminjamkan binatang korbannya kepada si penyembelih sebelum
disembelih jika korban sunat.
24) Bagaimana
dengan korban wajib (nazar)?
Namun jika korban wajib maka kesemua bahagian binatang tersebut wajib disedekahkan kesemua anggota badan haiwan tersebut sehingga kulit dan tanduknya kepada fakir miskin.
25) Apakah hukum melakukan korban bagi orang yang masih
hidup tanpa izinnya?
Hukumnya tidak sah.
26) Bagaimana pula jika seorang wali (bapa atau datuk) membuat korban dengan menggunakan hartanya untuk anak atau cucunya tanpa izin?
Hukumnya harus.
27) Apakah hukum membuat korban kepada orang yang telah mati?
Tidak sah. Tetapi sekiranya si mati mewasiatkannya maka hukumnya adalah sah. Bagi orang yang diwasiat dan mendapat izin dari si mati wajib bersedekah kesemua bahagian anggota badan haiwan dan dia tidak berhak mengambil bakinya buat dirinya sendiri serta orang yang berada
di bawah tanggungan nafkahnya.
Allahu Haq!!! Madad wa dustur… bihurmatil habib al fatihah! Dipetik,diringkas dan dipermudahkan dari kitab 'Matlau' Badrain'
oleh:
Hayat an Mevlevi
11.03 malam. 25 Disember 2006. Temerloh Pahang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment