**Didoakan Semua Pesakit Yang Telah Menerima Rawatan di KISWAH DISEMBUHKAN ALLAH TAALA. AMIN**

Tetamu pilihan!!!

Semua artikel di dalam blog ini saya izin untuk publish dan sebarkan dengan syarat disertakan rujukan anda iaitu: KISWAH; www.rawatanislam2u.com. Saya juga mengizinkan anda untuk mengamalkan segala kaedah rawatan yang ditulis di dalam blog ini. Namun lebih baik berjumpa saya untuk menerima ijazah... Sekian dimaklumkan. Selamat beramal!!!

03 March 2011

KISWAH di Sinar Hari ini Edisi Rehal; Ilmu Tunduk Suami



Dapatkan Sinar Harian Pada Hari Ini;

Allahu Haq! Hidayah Seluruh Alam!

Semoga Dakwah Tersebar

Ilmu penunduk Masihkah menjadi buruan?

Takut kehilangan suami, terutama akibat godaan gadis menawan, ramai wanita di negara ini, terutama mereka yang bergelar isteri, mengamalkan pelbagai pendekatan khurafat bagi menundukkan suami supaya rumah tangga sentiasa harmoni tanpa kehadiran orang ketiga.

Mengamalkan ilmu penunduk suami menjadi pilihan sang isteri. Apa tidaknya, bila melihat si suami patuh dan akur dengan segala kehendak isteri tercinta, semestinya kepercayaan isteri terhadap ilmu penunduk bertambah-tambah bila mana ilmu itu ‘menjadi’ dalam sekelip mata. Akibatnya, tindakan syirik itu terus dipraktikkan kerana diyakini mampu menjadi benteng untuk menjinakkan suami daripada ‘makan luar’.

Berdasarkan pandangan ustaz dan pembacaan penulis dalam buku-buku agama, punca sebenar isteri menggunakan ilmu penunduk kerana suami mempunyai hubungan sulit atau mempunyai isteri lain, namun perkara paling utama kerana isteri mengalami rasa rendah diri yang amat sangat dan tidak mempunyai kepercayaan pada diri sendiri untuk menambat hati suami. Ketakutan dirinya akan dimadukan juga menjadi antara faktor isteri melakukan perkara yang terkutuk itu.

Selain itu, ada juga di antara faktor seperti suami yang sering curang, garang dan pemarah menjadi punca sang isteri bertindak sedemikian.

Mengamalkan ilmu penunduk ini sebenarnya dilakukan oleh semua insan tidak kiralah mereka yang cetek ilmu agamanya atau yang bijak dalam hal ehwal agama.

Memilih untuk menundukkan suami dengan cara mengamalkan ilmu penunduk sebegini rupa merupakan cara paling mudah dilakukan dan terdapat ramai bomoh atau pawang yang boleh diupah untuk menurunkan ilmu syirik itu dengan bayaran tertentu.

Kadangkala setelah mereka merasa terlalu lama berdoa dan merasai doa tersebut tidak dikabulkan, maka mereka memilih jalan ini yakni setelah dibisikkan syaitan laknatullah. Perlu diingat, Allah mencintai orang-orang yang sering atau selalu meminta dan berdoa kepadanya.

Firman Allah dalam Surah Ghafir ayat ke-60, bermaksud “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina”

“Atau siapakah yang mengabulkan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada tuhan lain selain Allah? Sedikit sekali kamu yang memperhatikannya.”

Ilmu penunduk

Ilmu penunduk merupakan satu cabang ilmu hitam yang perlu dielakkan kerana ia membawa syirik kepada Allah SWT kerana kita sebagai hambaNya tidak meminta terus kepada Allah dengan cara berdoa sebaliknya meminta kepada manusia yang lain.

Allah tidak menerima ibadah mereka yang syirik dan jika tidak sempat untuk bertaubat, balasan di akhirat, azabnya tidak dapat digambarkan. Adalah tidak salah untuk berikhtiar dalam mencari kebahagiaan rumah tangga tetapi sebagai seorang Islam, kita harus tahu apakah cara yang dibenarkan agama agar kita tidak terpesong dan mengikut telunjuk syaitan.

Nasi kangkang atau nasi tangas

Perawat Pusat Rawatan Islam Kiswah Ruqyah Syariyyah cawangan Klang, Ustaz Zailan Ibrahim, 43, berkata, ilmu penunduk yang paling digemari masyarakat Malaysia kini ialah susuk penunduk, minyak pengasih dan nasi kangkang.

Menurut beliau, dalam kebanyakan ilmu penunduk itu, hanya mereka yang berhati buruk sahaja yang sanggup melakukan nasi kangkang demi mendapatkan suami yang taat dan takut serta tunduk kepada mereka.

“Nasi kangkang disediakan isteri yang ingin menundukkan suaminya, caranya di mana
nasi ataupun makanan yang masih panas itu dicampurkan dengan bahan-bahan kotor yang diambil daripada badan manusia (pengamal) seperti daki, kotoran celah-celah kuku dan dikangkangkan sehingga wap daripada kemaluan jatuh dalam makanan tadi. Lebih berkesan lagi sekiranya orang yang melakukannya itu berada dalam keadaan kotor (haid).

“Amalan yang dibantu oleh sihir ini menjadikan suami seumpama bodoh, menurut telunjuk kemahuan isteri. Amalan ini adalah terlarang dan pelakunya termasuk dalam golongan mereka yang melakukan amalan syirik. Pada hakikatnya, amalan seperti ini bukan menyebabkan suami bertambah kasih kepada isteri tetapi boleh menyebabkan si suami menjadi bodoh seolah-olah dikuasai oleh satu kuasa asing menyebabkannya takut dan tunduk kepada isteri,” katanya.

Ustaz Zailan berkata, perbuatan terkutuk yang dilakukan isteri itu sememangnya haram dan akan dilaknat Allah. Syurga di bawah telapak kaki suami, maka sekiranya isteri sanggup melakukannya, nerakalah balasannya kelak. Nauzubillah.

Mengulas tentang kepercayaan masyarakat moden terhadap hal-hal sebegini, Ustaz Zailan berkata, perbuatan mengamalkan ilmu penunduk atau ilmu sihir itu sebenarnya masih wujud walaupun zaman sudah berubah.

Diakui, jalan penyelesaian kepada pergolakan rumah tangga yang berlaku pada hari ini dilakukan dengan cara menemui kaunseling, tetapi bagi mereka yang merasai tiada jalan lain maka mereka memilih jalan sebegini sebagai langkah untuk tidak kecewa, yang akhirnya menjadi syirik pada Allah SWT.

Di dalam Islam, sihir sememangnya salah dan ia adalah perkara yang amat ditentang kerana pertolongannya datang daripada kalangan syaitan.

“Sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara. Banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan agar rumah tangga menjadi lebih teguh dan utuh,” katanya.

Kesimpulannya, ilmu penunduk bukan penyelesaian kepada masalah rumah tangga tetapi ianya akan menjadi masalah kepada sesebuah rumah tangga yang dibina. Sebagai seorang Islam, tidak ada tembok antara kita dengan Allah dan doa itu merupakan senjata kita yang paling berkuasa. Allah menjanjikan manusia cabaran di dunia dan melihat bagaimana manusia menghadapinya.

“Kepada mereka yang mengamalkan ilmu tersebut, kesannya dibenci oleh Allah dan diberikan jiwa yang kucar kacir yang akhirnya kehidupan akan ditimpa kebinasaan.

“Jalan terbaik untuk kembali ke pangkal jalan ialah dengan bertaubat nasuha kerana Allah tidak pernah menganiaya hamba-Nya,” ujarnya.



http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8801287.asp
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...