**Didoakan Semua Pesakit Yang Telah Menerima Rawatan di KISWAH DISEMBUHKAN ALLAH TAALA. AMIN**

Tetamu pilihan!!!

Semua artikel di dalam blog ini saya izin untuk publish dan sebarkan dengan syarat disertakan rujukan anda iaitu: KISWAH; www.rawatanislam2u.com. Saya juga mengizinkan anda untuk mengamalkan segala kaedah rawatan yang ditulis di dalam blog ini. Namun lebih baik berjumpa saya untuk menerima ijazah... Sekian dimaklumkan. Selamat beramal!!!

17 February 2013

Dato' Saifuddin Abdullah Menulis Berkenaan Konsert Dakwah dan KISWAH di Sinar Harian 18 Feb 2013

Menyokong konsert dakwah
Saifuddin Abdullah
18 Februari 2013
Pada 23 Februari ini, Hafiz Hamidun akan mengadakan Konsert Zikir Terapi Diri di Stadium Bandaraya Johor Bharu. Ia dijangka dihadiri 4,000 orang penonton. Ini konsert solonya yang kedua, iaitu selepas kejayaan konsert solo pertamanya di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 14 November lalu, yang dihadiri 2,000 penonton.

Sebelum ini, saya mengikuti perkembangannya dengan menonton video dan mendengar zikir terapinya sahaja. Persembahannya amat mengesankan. Lalu saya mula mengenalinya dari dekat.

Pada 21 Februari ini, saya mengundangnya untuk bersama saya dan Imam Muda Asyraf (yang pernah saya undang ke Temerloh) di program Hayati Maulidur Rasul di Universiti Putra Malaysia (UPM). Pada malam itu, akan diadakan forum dan zikir, serta pelancaran video klip “Seruan al-Fatihah”.

Oleh kerana belum pernah menghadiri konsertnya, maka, saya amat teringin ke Johor Bharu. Tetapi, memandangkan pada masa yang sama, saya dijadualkan menghadiri program Temerloh Berselawat anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh di Dataran Tok Gajah, maka, saya tidak dapat bersama Hafiz.

Apa-apa pun, saya menyokong kuat konsertnya dan mendoakan kejayaannya yang cemerlang. Begitu juga dengan persembahannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada keesokan harinya.

Hafiz penyanyi, komposer, pengarah dan penerbit muzik dan pengacara tv yang kini menjadi fenomena, terutamanya di kalangan belia. Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, sebelum bergerak sendiri dan menubuhkan syarikat produksinya, Arteffects Production, pada 2006. Setahun kemudian, beliau menerbitkan album pertamanya.

Namanya memuncak sejak albumnya, “Zikir Terapi Diri”, diterbitkan pada 2011. Ia mengandungi 10 zikir yang disampaikan secara merdu dan berirama dengan iringan piano dan harp. Tahun lalu, album ini menerima Anugerah Platinum dan dinobatkan Album Nasyid Paling Popular.

Kini, selain di Malaysia, Hafiz amat popular di Singapura, Brunei dan Indonesia. Beliau juga membuat persembahan di Cina, Australia, India, Mesir, Jordan, Arab Saudi, Turki dan UK.

Ada peminatnya yang memberinya nama jolokan Sami Yusuf Malaysia. Sami Yusuf ialah penyanyi, komposer, pemuzik dan penerbit muzik UK yang berasal dari Azerbaijan. Pada 2003, ketika berusia 23 tahun, beliau mencipta nama dengan album nasyid pertamanya. Lagu terbarunya, “Asma ALLAH” kini begitu diminati ramai.

Dalam dakwah Islamiah, kita perlu bijaksana. Terutamanya dengan belia. Justeru, apabila muncul individu atau inisiatif yang dapat menarik minat mereka kepada Islam, maka, kita mesti mendukungnya.

Contohnya, ialah kebangkitan kumpulan-kumpulan nasyid yang begitu rancak. Di samping menerbitkan album, membuat persembahan di tv dan radio, mereka turut menganjurkan konsert. Ada di antara mereka yang begitu popular, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara.

Alhamdulillah, kini, di samping nasyid dan zikir terapi, persembahan qasidah telah muncul semula.

Di Temerloh, contohnya, terdapat kumpulan qasidah, iaitu Kiswah. Mereka membawa qasidah dengan iringan gendang. Kiswah ditubuhkan dua tahun lalu di bawah naungan Mufti Pahang. Sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, mereka membuat persembahan di lima buah masjid di daerah Temerloh. Kemuncaknya ialah konsert Temerloh Berselawat yang kebetulan sama masanya dengan konsert Hafiz di Johor Bharu.

Kebanyakan konsert dakwah dibiayai atau ditaja oleh pihak tertentu. Kehadiran penonton adalah percuma. Tetapi, ada juga yang dianjur sendiri oleh penyanyi atau kumpulan. Justeru, tiket dikenakan. Ini bukan satu kesalahan. Malah, ia wajar. Lagipun, jika dibandingkan dengan konsert-konsert lain yang jauh lebih mahal, maka, eloklah kita menyokong konsert dakwah.

RUJUKAN: SINAR HARIAN 18 Feb 2013

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...