**Didoakan Semua Pesakit Yang Telah Menerima Rawatan di KISWAH DISEMBUHKAN ALLAH TAALA. AMIN**

Tetamu pilihan!!!

Semua artikel di dalam blog ini saya izin untuk publish dan sebarkan dengan syarat disertakan rujukan anda iaitu: KISWAH; www.rawatanislam2u.com. Saya juga mengizinkan anda untuk mengamalkan segala kaedah rawatan yang ditulis di dalam blog ini. Namun lebih baik berjumpa saya untuk menerima ijazah... Sekian dimaklumkan. Selamat beramal!!!

25 August 2010

Hidupkan Ramadhan...




Rasul bersabda : (( Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya adalah mustajab dan amalannya dilipat kali gandakan ( pahalanya )
….

“ Jika kamu berpuasa, segala doa kamu akan dimakbulkan oleh Allah “

“ Khususnya kamu yang akan ambil peperiksaan pada tahun ini.”

“ Perkara ini telah diberitahu oleh junjungan kita iaitu : ((Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa-doa yang tidak ditolak ))”

“ Jesteru, perbanyakkanlah berpuasa. Dan itu pun jika kamu benar-benar berpuasa dengan sebenar-benar erti berpuasa.” Aku memberi nasihat kepada anak muridku diawal Ramadhan yang lalu di dalam kelas.

…..

Dia kembali ke wilayahnya.

Sudah lama dia menahan kelaparan. Sudah hampir 30 hari. Dia hanya berpuasa. Menahan lapar adalah suatu tuntutan dalam jalannya. Jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Selama itu jugalah dia tidak memasukkan sesuatu pun makanan ke dalam perutnya.

Apa yang dia lakukan hanya Cuma beribadah. Dengan jalan menahan lapar, tumpuan kepada beribadah akan lebih terfokus. Tenaga akan lebih banyak digunakan untuk beribadah. Jika tidak berlapar, tenaga akan banyak digunakan kepada perut. Lebih banyak tenaga akan digunakan dalam proses penghadaman. Selepas itu, keletihan akan membungkam dan kemalasan untuk beribadah lebih terserlah. Jesteru, di dalam jalannya, dia perlu lebih banyak berpuasa.

Tetapi, hari itu lain. Sudah 30 hari ia cukup berlapar. Rasanya inilah waktu yang paling sesuai untuk menikmati makanan. Maka, dia merancang untuk keluar dari wilayah suluknya bersama dunia manusia yang lain. Setelah tekadnya, dia pun bergerak pergi Ain Syarwan. Kawasan mewah yang dipenuhi manusia kaya. Mungkin disitu ada rezeki untuknya.

Perjalanan itu memakan masa.Orang miskin sepertinya sudah tentu hanya berjalan kaki. Tiada tunggangan yang boleh meringankan perjalanan. Tapi, ada baiknya menjadi golongan marhaen. Mampu untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dan memahami mereka.

Sampai di Ain Syarwan, segera dia melihat-lihat jika ada rezeki buatnya. Mundar mandir sepanjanga jambatan yang menjadi kekaguman masyarakat disana. Ketika dia berjalan disekitar itulah akhirnya dia mengungkapkan :

“ Aku berjalan di Ain Syarwan, sekadar untuk mencari makanan setelah aku berlapar selama 30 hari. Sepanjang perjalanan aku bertemu hampir 30 wali yang lain yang mencari makanan seperti aku. Aku bertanya kepada mereka, sudah berapa lama mereka berlapar. Mereka menjawab 60 hari. Aku lantas balik ke tempat sulukku.”

Kepulangannya ialah merasakan tidak patut untuk merasa kenyang sedangkan ada diantara orang sepertinya yang masih berlapar. Malah mereka lebih lama berlapar daripadanya. Jadi, dia mengambil nekad untuk memberi peluang kepada mereka untuk mengambil rezeki dan dia kembali ke wilayahnya, meneruskan laparnya untuk 30 hari lagi.

• Dia di dalam cerita tersebut ialah Syaikh Abdul Qadir al Jailanie.
………..

Dia akan terus berpuasa

Setelah 25 tahun dia bersendirian untuk mengapai sebuah makrifat dan kecintaan, dia kembali ke pangkuan manusia. Kepulangannya bukan lagi kosong. Tetapi medannya sudah berubah. Sebelum ini medannya adalah mujahadah, peperangan untuk menundukkan keegoan, keakuan agar dia beroleh kerapatan dengan kekasihnya. Kini medannya ialah membawa manusia kembali berkongsi kasih dengan tuhannya.

Dia kembali dengan membina madrasah setelah pengajiannya telah menembusi hati-hati yang rindu. Ramailah yang datang ingin mendengar ayat-ayat cinta dari sahibul bisyarat ilahiyyah. Ramailah yang memujanya dan ingin menjadi sepertinya. Ramailah yang bersuhbah dengannya agar menjadi pencinta sepertinya. Berbondonglah manusia hadir tunduk menjadi muridnya sebagai salik mencari kekasihnya.

“ Panggilkan anak saya “ seorang bapa memerintahkan pelajar yang lain agar memanggil anaknya .

“ Baiklah “ pelajar yang diperintah itu pun menjawab mudah.

Itulah kasih sayang ibubapa dengan susah payah datang dari jauh demi melihat keadaan anaknya. Entah baik, entah tidak. Bila meninggalkan anak di madrasah yang gah namanya, tentu kebajikan anaknya akan lebih terjaga dan terjamin.

“ Assalamualaikum ayah” anaknya menyapa ayahnya.

“ Alaikumussalam!!” ibu dan ayah pelajar itu menjawab salam dan terkejut.

“ Engkaukah anak aku? “ ibunya menyerkap.

“ Ya ibu! Ibu sudah tidak kenal saya lagi ke? “ anaknya tergamam.

“ Ibu tinggalkan engkau disini dalam keadaan sihat, mengapa sekarang engkau begitu kurus?” Ibunya masih terpinga.

“ Guru engkau tidak memberi engkau makan ke ? “ bapanya pula menyoal dalam keadaan geram.

“ Tidak ayah ! saya di sini hanya berpuasa.” Anaknya menjawab.

“ Sampai begini kurus?” ayahnya masih bernada tidak puas hati.

“ Setiap hari ayah.”

“ Kalau begini, mari kita jumpa tuan guru kamu “ ajak ayahnya.

Bergeraklah mereka bertiga menuju ke rumah guru anaknya. Tuan Guru anaknya bukan sebarangan orang. Sudah mahsyur dicicip mulut kalangan manusia, kehebatan tuan guru anaknya. Akhlaknya yang luar biasa. Keilmuan yang tiada tandingnya. Jika dia menghamburkan kalamnya,maka berjurailah air mata dari takungannya. Hati menyentak – nyentak kerinduan kepada khaliq. Akhirnya tersembam menyembah ke bumi menyujud kepada Yang Berkuasa.

Tidak mungkinlah tuan guru tersebut akan mendera anaknya sehingga menjadi kurus. Membiarkannya berpuasa tanpa henti saban hari. Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihat keadaan anak yang sedemikian rupa. Ayah mana yang tidak akan menyinga melihat anak kesayangannya berubah fizikalnya sedangkan ia menatangnya.

“ Kami ingin berjumpa dengan tuan guru” bapa si anak tersebut membuat tuntutan kepada khadam tuan guru.

“ Silakan masuk “ Khadam tuan guru menjemput.

Alangkah terkejutnya kedua ibu bapa tersebut apabila melihat tuan guru anaknya sedang menjamah ayam sedangkan anaknya kelaparan. Hati yang tadi geram dipujuk untuk sedikit sejuk, kembali meriakkan kemarahan.

“ Tuan guru boleh menjamah ayam sedangkan anak saya tuan guru suruh berpuasa setiap hari.”

“ Sehingga anak saya dari gemuk menjadi kurus”

“ Apakah tuan guru tidak rasa bersalah ?” sibapa bertindak berkat-kata mengungkapkan rasa tidak berpuas hati terhadap tuan guru.

Kemudian ditambah dengan kata siibu pula. Sedangkan tuan guru hanya menatap wajah kedua ibubapa tersebut dan mendengar dengan teliti. Jiwa yang tengah marah ibarat air sungai yang menderu deras. Jika ditahan maka bahlah ia. Jesteru dibiarkan sahaja. Bila ia melesu barulah tuan guru bertindak.

“ Ermmm…maafkan saya ya ! “ bicara tuan guru sambil mengumpulkan tulang-tulang ayam tersebut disudut sisi dulang. Di ambil tulang yang terpicis kecil dan dikumpulkan bersama tulang yang lain. Si khadam datang membasuhkan tangan gurunya. Kemudian barulah gurunya berdiri dan memandang tepat pada wajah tetamunya.

“ Maafkan saya. Boleh saya solat dua rakaat dahulu.” Pinta tuan guru.

Tindakan tuan guru itu cukup membingungkan. Jika manusia yang lain, apabila dihamburkan kata-kata tegas begitu, sudah tentu akan mengundang reaksi. Namun, tuan guru tetap tenang malah memohon izin untuk bersolat pula.

Tuan guru pun bersolat. Kedua ibubapa tersebut masih terpinga-pinga tetapi mereka masih boleh bersabar untuk menunggu jawapan dari tuan guru. Usai bersolat, tuan guru menadah tangannya. Dia berdoa kuat. Ibubapa tersebut mendengar dengan baik setiap kalimah yang terpacul dari mulut tuan guru.

“ Ya Allah, dengan kekuasaanMu, aku bermohon agar tulang yang terkumpul itu Engkau jadikanlah ia semua ayam seperti mana yang telah Engkau tunjukkan kepada Nabi Ibrahim a.s” pohon tuan guru dalam doanya.

Setiap mata tertumpu tajam kepada tulang temulang yang berkumpul di atas dulang, apabila masing-masing mendengar doa tuan guru. Tiba-tiba tulang tersebut merubah menjadi seekor ayam dan hidup kembali. Ayam tersebut berkokok dihadapan semua yang memandangnya. Kemudian tuan guru tersenyum dan hadir dihadapan ibubapa tersebut.

“ Sekarang saya mahu anak tuan, puan pula bersolat dan bermohon kepada Allah agar ayam tersebut kembali menjadi tulang.” Tuan guru pula mengarahkan.

Arahan tersebut dipatuhi oleh anak muridnya. Dia mengambil posisi untuk bersolat. Kemudian dia cuba untuk khusyuk di dalam solat, lantas berdoa seperti gurunya apabila selesai bersolat. Namun, ayam tersebut masih tetap begitu. Tetap berada diatas meja dan tidak merubah menjadi tulang. Diulang sekali lagi doanya, dengan harapan ayam itu kembali kepada asalnya. Namun, tindakan itu sia-sia sahaja.

Tuan guru tersenyum melihat keadaan itu.

“ Beginilah tuan dan puan. Selagi anak tuan puan tidak boleh menjadikan ayam tersebut kembali menjadi tulang dengan doanya, selagi itulah anak tuan puan akan terus berpuasa.”

Terdiam ibubapa pelajar tersebut melihat keadaan luar biasa di dalam rumah tuan guru. Itulah pengajaran yang boleh diambil, serahkan urusan untuk mendidik sepenuhnya kepada tuan guru seperti menyerahkan urusan jenazah kepada pemandinya.

• Tuan guru yang dimaksudkan diatas ialah Syaikh Abdul Qadir al Jailanie.

• Kedua-dua kisah ini diambil dari manaqib Syaikh Abdul Qadir al Jailanie.
…..

“ Bila kamu berpuasa, janganlah kamu memanggil kawan kamu dengan nama binatang seperti babi, keldai atau yang lain-lain “

“ Kerana kata-kata tersebut adalah doa. Jesteru, kamu akan lihat hari ini, ramai manusia yang menjadi bodoh dan berakhlak seperti binatang kerana ketika mereka berpuasa, mulutnya sentiasa mendoakan kawannya dengan perkara tersebut.”

“ Panggillah kawan kamu dengan sebaik panggilan dan sentiasalah mendoakan mereka tanpa jemu.” Aku menghabiskan nasihatku selepas habis bercerita kepada mereka tentang Quthbul Ghaus Syaikh Abdul Qadir al Jailanie.

Kredit to my friend: Sheikh Shahrul Rizal...

http://www.syeikh-husna.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...